Rabu, 27 Mac 2013

12 Mac 2013

Pada 12 Mac 2013, saya mendapat banyak input mengenai subjek Strategi Pengajaran & Perancangan Program. Apa yang saya dapati ialah persoalan mengenai kenapa perlu ada teori? iaitu teori-teori perkembangan. Teori diperlukan untuk membantu di dalam proses pengajaran dan  pembelajaran, teori dapat membantu menyelesaikan masalah manusia., melalui teori kita akan tahu menilai, memerhati dan mengkaji sesuatu, teori ialah psikologi kepada manusia dan teori adalah sebagai satu rujukan kepada manusia di dalam bidang pendidikan untuk memberi kefahaman dalam semua aplikasi kehidupan manusia. 

Teori-Teori Perkembangan

Pertumbuhan dan perkembangan sangat penting kerana pertumbuhan dan perkembangan merupakan dua proses yang saling berkait. Melalui pengetahuan psikologi, pertumbuhan dan perkembangan membolehkan guru memahami perkembangan konsep yang dicapai oleh kanak-kanak pelbagai peringkat umur. 

Menurut Sharifah Alwiah Alsagof, matlamat bidang psikologi pertumbuhan dan perkembangan adalah untuk :
  • Meramal tingkah laku
  • Memahami mekanisme, proses dan penentu tingkah laku
  • Beri pemerian yang tepat, objektif, dan sempurna tentang asal-usul fungsi
Definisi Pertumbuhan
*Kamarudin Husin (1997:4) suatu perubahan yang boleh dinilai @ diukur satu peringkat satu peringkat perkembangan yang lain dari satu jangka masa yang lain.

Definisi Perkembangan
*Perubahan tingkah laku yang tersusun dan teratur. Semua perubahan dalam perkembangan ini akan membantu individu dalam proses mencapai kematangan.
*Perkembangan adalah dihasilkan daripada tindakan yang saling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran.
*Jangan suka menghukum kerana ia akan membawa kepada masalah jiwa.
*Menurut Atan Long, perkembangan ialah perubahan yang bersifat kualiti.



TEORI-TEORI UTAMA DALAM PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

1. Teori Perkembangan Arnold Gesell


Arnold Gesell telah membahagikan kepada 5 peringkat perkembangan kanak-kanak daripada usia ( 0 - 4 tahun ke atas ). Setiap peringkat usia bayi atau kanak-kanak mempunyai kebolehan dan kemahiran mengikut tahap kemampuan umur mereka. Contohnya bayi yang berusia 1 bulan boleh menangis dan bayi berusia 7 bulan mempunyai kemahiran menggenggam, merangkak dan duduk. Perkembangan mereka terhadap persekitaran fizikal dan alam sekeliling adalah berperingkat-peringkat dan lebih spesifik, kerana Arnold Gesell telah membuat pemerhatian dan kajian ke atas bayi dan kanak-kanak dari usia ( 0 -4 tahun ke atas ) dengan menyenaraikan kebolehan dan kemahiran bayi dan kanak-kanak tersebut mengikut tahap perkembangan usia mereka. Ibu bapa dan guru boleh merujuk kepada teori perkembangan Arnold Gesell ini sebagai panduan bagi membantu anak-anak mereka mencapai kebolehan dan kemahiran yang sepatutnya agar mereka lebih bersedia untuk berhadapan, meneroka dan memasuki alam persekolahan dengan lebih mudah dan seronok.



2. Teori Perkembangan Jean Piaget

Teori perkembangan Jean Piaget berfokus kepada elemen konstruktivisme, iaitu bayi dan kanak-kanak belajar daripada interaksi-interaksi dan pengalaman mereka melalui persekitaran dan diaplikasikan di dalam kehidupan yang nyata. 

4 Konsep Utama Perkembangan Kognitif Jean Piaget

1.Skema (Schema)
2.Asimilasi (Penyerapan)
3.Akomodasi (Pengubahsuaian) 
4.Equilibirium (Keseimbangan)

4 Peringkat Perkembangan Kognitif Jean Piaget 

1. Peringkat Sensori Motor ( 0-2 tahun )
2. Peringkat Pra Operasi ( 2-7 tahun)
3. Peringkat Operasi Konkrit ( 7-12 tahun)
4. Peringkat Formal ( 12 tahun ke atas )

Setiap peringkat perkembangan kognitif Jean Piaget tersebut merupakan tahap-tahap perkembangan  dan kemahiran bayi dan kanak-kanak mengikut umur mereka. Contohnya pada peringkat sensori motor iaitu berumur ( 0- 2 tahun ) kanak-kanak suka menghisap jari, menghisap jari adalah skema kepada kanak-kanak yang berumur ( 0 - 2 tahun ). Seterusnya kanak-kanak yang berumur ( 2- 7 tahun ) sudah pandai bercakap dan tahu akan maksud sesuatu perkataan dan bahasa kerana pada tahap ini mereka sudah mula mempelajari perbendaharaan kata yang banyak. Pada peringkat ini juga, perasaan empati mulai ditunjukkan oleh golongan umur ini.



3. Teori Perkembangan Robert Havighurst

Robert Havighurst berpendapat bahawa perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh persekitarannya. Perkembangan personaliti dipengaruhi oleh nilai-nilai, norma-norma serta budaya masyarakat dan persekitarannya. Robert Havighurst juga memperkenalkan Konsep Tugas-Tugas Perkembangan kepada 3 peringkat iaitu ( 0 -6 tahun ), ( 6- 12 tahun ) dan ( 12 - 18 tahun ). Setiap peringkat kepada Tugas-Tugas Perkembangan ini dipengaruhi oleh biologi mereka. Setiap Tugas-Tugas Perkembangan, kanak-kanak akan menunjukkan kebolehan, keupayaan dan kemahiran mereka terhadap diri sendiri. Contohnya, kanak-kanak yang berumur 9 - 15 bulan mula berjalan menggunakan kedua-dua kaki mereka, selepas itu mereka akan mula berlari dan melompat selepas pandai berjalan, ini menunjukkan tugas perkembangan mereka sudah tercapai. Konsep Tugas-Tugas Perkembangan ini amat berguna kepada guru supaya dapat merancang aktiviti di dalam kelas secara kumpulan berdasarkan tahap perkembangan masing-masing. Pembelajaran akan lebih sistematik dan tersusun.



4. Teori Perkembangan Sigmund Freud

Sigmund Freud membahagikan personaliti manusia kepada tiga bahagian iaitu; id, ego dan superego. Kanak-kanak berkembang melalui 5 peringkat :-

1. Peringkat oral ( lahir - 18 bulan )
2. Peringkat anal/dubur ( 2 - 4 tahun )
3. Peringkat falik/kubul ( 4 - 6 tahun )
4. Peringkat Pendaman ( 6 - 12 tahun )
5. Peringkat kejantinaan ( 12 tahun ke atas )

Setiap kanak-kanak akan berkembang mengikut personaliti yang berbeza sejak dari lahir sehinggalah berumur 12 tahun ke atas. Perkembangan perbezaan personaliti kanak-kanak ini perlu dikawal dan dibimbing oleh ibu bapa dan guru agar tidak menjadi kepada konflik diri terhadap kanak-kanak tersebut. Contohnya mengenai perbezaan seks, jantina dan moral diri kanak-kanak. Ibu bapa dan guru perlu berinteraksi dengan kanak-kanak supaya mereka memahami dan mengetahui perbezaan-perbezaan tersebut.




5. Teori Perkembangan Erik Erikson

Teori perkembangan Erik Erikson dibahagikan kepada 8 fasa;

1. Fasa percaya lawan curiga. ( 0 - 18 bulan ). Kanak-kanak perlukan kasih sayang daripada ibu bapa.

2. Fasa autonomi lawan ragu. ( 18 bulan - 3 tahun ). Kanak-kanak cuba berdikari melakukan aktiviti fizikal tanpa bantuan orang dewasa.

3. Fasa ikhtiar lawan rasa bersalah.  ( 3 - 6 tahun ). Kanak-kanak suka bertanya dan mahukan penjelasan.

4. Fasa berdaya usaha lawan rendah diri. ( 6 -12 tahun ). Kanak-kanak akan menghadapi peringkat pembelajaran kemahiran baru @ menghadapi risiko perasaan rendah diri jika menemui kegagalan.

5. Fasa identiti lawan ego. ( Remaja ). Mencari identiti diri ( personaliti, bidang kerjaya, agama )

6. Fasa intim lawan bersendirian. ( 20-an ). Membina hubungan rapat kawan @ kekasih.

7. Fasa generatif lawan stagnasi. ( 20 -an - 50 tahun ). Kepuasan terhadap sesuatu sumbangan utk generasi akan datang.

8. Fasa integriti lawan rasa kecewa. ( 50 tahun ke atas ).Melalui pelbagai pengalaman dan cabaran hidup.

Kelapan-lapan fasa ini boleh dirujuk sebagai panduan untuk membantu perkembangan diri seseorang individu dan diaplikasikan di dalam kehidupan sebenar. Guru juga boleh menggunakan teori ini untuk membantu kanak-kanak dan murid, mengenai kecenderungan minat mereka contohnya minat kerjaya mereka. Melalui itu, guru dapat memberi galakan dan menyediakan saluran pembelajaran yang sesuai ke arah itu agar kanak-kanak dan murid dapat mencapai hasrat mereka di masa akan datang. 



















Tiada ulasan: